BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, February 23, 2011

cantik sangatkah diri kita ni???????

Apakah yang kita lakukan apabila bangun pagi? Biasanya, setelah menggeliat dan menggenyeh mata, kita akan terus ke bilik air untuk menggosok gigi. Selepas itu mandi, bersabun dan bersyampu. Usai bersolat, kita bersolek. Bagi perempuan, wajah jadi cantik setelah dilukis semula. Bagi lelaki pula, wajah kembali terurus setelah membuat landscaping kecil dengan menebas misai dan janggut serta menyikat rambut.

Buat orang lelaki, tali leher yang terjerut kemas akan menampilkan gaya yang segak. Bagi orang perempuan, busana yang diperagakan akan menganggunkan ketrampilan. Perfume yang disembur menyegarkan bau tubuh dan menaikkan aura. Orang yang berselisih dengan kita boleh terhenti untuk menghidu bau minyak wangi yang kita pakai.
Itulah kebiasaan yang kita lalui sebagai manusia yang berkerjaya. Bagi golongan suri rumah, pelajar, mahupun yang masih belum bekerja, rutin harian yang dilalui lebih kurang sama juga. Dalam masa tidak sampai sejam, kita sudah pun siap. Kita lalui semua proses mendandan diri separuh robotik ini sebaik sahaja bangun tidur.

Namun, pernahkah kita berhenti seketika, termenung dan merenung kembali buat seketika? Apabila bangun tidur, sebelum melompat atau bermalas-malas mengheret kaki ke bilik air, terciumkah kita bau tubuh sendiri terutamanya bau yang datang daripada mulut kita? Wangikah ia?

Apabila membelek wajah di cermin, lihatlah kelayuan mata sendiri yang cengkung dan bergelanggang kerana belum dipalit kelilingnya dengan celak dan shadow. Berapa garis kedutkah yang kita ada. Kurang daripada sepuluh atau sudah tidak terkira? Biasanya kita tidak sempat membilangnya kerana cepat-cepat menutupnya dengan bedak.

Bila diperhatikan betul-betul, rambut kita yang ikal seperti seludang kelapa sudah semakin lurus seperti berus periuk terpakai. Tidak lama lagi, warna putihnya akan melebihi warna hitamnya. Misai yang tebal pun sudah jarang-jarang dan tidak tentu hala tumbuhnya.

Otot-otot di tepi bibir yang biasanya ternaik hingga menyerlahkan wajah kita seperti orang yang sentiasa tersenyum, kini sudah kendur. Akibatnya, wajah kita yang serius kelihatan seperti sedang mencebir; menjadikan wajah kita persis orang yang sudah putus urat senyumnya.

Carilah kembali tanda lahir di tubuh, sama ada tompok putih di belikat atau garis di celah paha ~ yang hanya diketahui juga oleh pasangan kita; yang juga menandakan kita bukan manusia sempurna seperti batang tubuh artis yang sudah diphotoshop di komputer. Bagaimana pula perut yang punyai kesan pecah lemak hingga berjalur-jalur pecah seribu, tompokan hitam atau kutil yang mula tumbuh di merata tubuh?

Dan, lihatlah diri kita secara keseluruhan di cermin secara 360 darjah. Tataplah bentuk tubuh kita sendiri daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki. Kepala, leher, tengkuk, bahu, lengan, dada, perut, paha, betis dan akhir sekali, kaki. Eh, sejak bila lubang hidung kita dah tak sama saiz rongganya? Bila pula tubuh kita rebeh sebelah?

Kita kini tidak lagi persis model yang cantik dengan keluk, lekuk dan luk di bahagian-bahagian yang sepatutnya. Justeru itu, apakah kita kini seorang manusia... atau kita telah bertukar menjadi makhluk yang menggelembung di sana-sini di bahagian-bahagian yang tidak seharusnya?

"Tidur itu saudara mati." Demikian sabda Rasulullah, s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabarani dan Baihaqi. Ertinya, bangunnya kita daripada tidur itu seumpama bangun daripada mati. Wajah kita pucat, tidak terurus, tidak bermaya dan berbau. Sebenarnya tubuh dan wajah kita amat hodoh sekali!

Tetapi, oleh kerana terlupa mahu melihat kekurangan fizikal diri sendiri, kerana hendak berkejar menyoleknya, maka kita sudah alpa akan kecacatan bentuk zahir kita. Apabila kita menyarung baju yang lengkap dengan jalur dan warnanya, atau ropol dan rendanya, kita kelihatan segak sekali. Maka apabila mengatur langkah dengan bergaya kerana kasut tumit tinggi menjadikan postur tubuh membusung di ponggong dan dada... wah siapa yang tidak ingin menatap lebih daripada sekali?

"Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)." (Az-Zumar 39:42)

Sedangkan fizikal kita sendiri kita lupakan kerana sentiasa disalut dengan pakaian yang indah-indah, bagaimana pula dengan spiritual kita? Jika yang boleh dilihat itu tidak selalu dipandang, bagaimana pula dengan bahagian diri kita yang tidak dapat ditilik?

Apakah batin kita secantik yang kita anggap selama ini?

Ataupun ia lebih hodoh daripada kita yang zahir ini?

jangan biar hati di' PATERI'

Siapa tidak mahu menjadi orang beriman? Malah dalam situasi mencari jodoh, kita telah pun mengakui apa sebenarnya kehendak hati seorang manusia. Lelaki yang bergaya 'stylo' tetap mahukan calon isteri yang solehah seperti Nur dalam cerita Nur Kasih. Wanita yang berlagak ala Lady Gaga masih dambakan calon suami seperti Asyraf dalam Program Realiti Imam Muda.

Itu membuktikan, masih ada secebis cinta kepada agama jauh di lubuk hati. Tetapi, mengapa kehendak itu tidak membuka pintu hati kita untuk berusaha mendapatkan hidayah dari Allah? Sedang kita tahu, fitrah hati kita ini menginginkan kesejukan pandangan dan rohani yang damai dengan salju keimanan!

"Belum terbuka hati aku untuk berubah. Agaknya hidayah Allah belum sampai." Sebelum kita ucap sebaris kata-kata itu, cuba ambil beberapa saat untuk bertanya kepada diri. "Apa yang sudah aku usahakan untuk mencari sinar petunjuk dari Allah?". Jika kita hanya membiarkan kaki terus berjalan di atas landasan yang dicipta oleh syaitan, tidak mungkin kita dipilih Allah untuk mendapat hidayah. Hayati firman Allah SWT,

"Katakanlah (Wahai Muhammad SAW), Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara (ikhwan) kamu, isteri-isteri (suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah SWT dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamanya maka tunggulah sehingga Allah SWT mendatangkan keputusanNya (azab siksaNya). Kerana Allah SWT tidak akan memberi hidayah kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (at-Taubah : 24)

Menurut Pensyarah di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam UiTM, Dr. Mohd Asmadi Yakob, antara punca-punca seseorang itu sukar mendapat hidayah adalah kerana mengikuti hawa nafsu dan syaitan. Manusia yang sentiasa menuruti kehendak nafsu dengan membelakangkan larangan dan suruhan Allah, hatinya sukar terbuka ke jalan kebaikan. Manakala, apabila dia menjadikan syaitan sebagai kawan, hatinya akan terus terpesong. Ini dapat dikaitkan dengan realiti masyarakat Islam hari ini yang mengamalkan susuk, sihir dan pemujaan syaitan dalam kehidupan. Telah Allah sebut di dalam surah al-Haj ayat 4, "yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka."

Selain itu, manusia yang berlaku zalim juga sukar memperoleh hidayah. Ia terbahagi kepada dua iaitu berlaku zalim terhadap diri sendiri dan zalim terhadap manusia lain. Seorang lelaki yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dengan sengaja, Allah akan 'memateri' hatinya! Hati menjadi keras, maka bagaimana sinar keimanan akan menyerap ke sanubarinya? Itu contoh zalim kepada diri sendiri. Manakala zalim terhadap manusia lain adalah dengan menganiaya orang tersebut. Doa orang yang teraniaya itu sesungguhnya amatlah mudah dimakbulkan Allah. Ini jelas menunjukkan Allah terlalu murka pada kezaliman.

Untuk memastikan diri tidak sukar diberi hidayah, jangan pernah biarkan hati menjadi keras. Ini boleh terjadi jika kita berkawan dengan rakan-rakan yang menghanyutkan kita dari mengingati Allah. Manusia yang melakukan maksiat dan dosa tetapi tidak bertaubat juga akan terus-terusan berada dalam keadaan yang sesat. Tanda hati telah menjadi keras juga apabila seseorang itu tidak suka mendengar perkara-perkara baik, majlis ilmu dan nasihat tentang keagamaan. Akhir sekali, apabila kita berperilaku melampaui batas-batas agama dan selalu berkata dusta, jangan dinanti hidayah mengunjungi segumpal darah di dalam tubuh! Beringatlah, apabila terdetik walaupun sebesar zarah kesedaran di dalam hati, segeralah mendekati Allah, mudah-mudahan hati dilimpahi hidayah yang berkekalan.

http://2.bp.blogspot.com/_lwUIYdcDX8s/S81_Fj7qauI/AAAAAAAAAS8/E_Bjo4GNEs4/s320/4381222254_8481866407_o.jpg

syahid selepas mengucap syahadah

Syahid Selepas Mengucapkan Syahadah
Penulis: myrol92 | Ditulis Pada Hari Selasa, April 20, 2010 |


Suatu ketika tatkala Rasulullah s.a.w. sedang bersiap di medan perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak terduga. Seorang lelaki yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui Baginda s.a.w.. Dia rupanya ingin masuk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah s.a.w. Amar ini berasal dari Bani Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu sudah Islam setelah tokoh yang terkenal Saad bin Muaz memeluk Islam. Tetapi Amar ini enggan mengikut kaumnya yang ramai itu. Keangkuhan jahiliyyah menonjol dalam jiwanya, walaupun dia orang baik dalam pergaulan. Waktu kaumnya menyerunya kepada Islam, ia menjawab, "Kalau aku tahu kebenaran yang aku kemukakan itu sudah pasti aku tidak akan mengikutnya." Demikian angkuhnya Amar.

Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia terasing sendirian, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang terang benderang. Kini dalam saat orang bersiap-siap akan maju ke medan perang, dia segera menemui Rasulullah s.a.w. , menyatakan dirinya akan masuk Islam malah akan ikut berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. . Pedangnya yang tajam ikut dibawanya.


Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan Amar dengan sangat gembira, tambah pula rela akan maju bersama Nabi Muhammad s.a.w.. Tetapi orang ramai tidak mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai mengetahui keIslamannya. Bagaimana Amar maju sebagai mujahid di medan peperangan. Dalam perang Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang musuh mengenai dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai saatnya dia jatuh pengsan.

"Untuk apa ikut ke mari ya Amar?" Demikian tanya orang yang hairan melihatnya, sebab sangka mereka dia masih musyrik. Mereka kira Amar ini masih belum Islam lalau mengikut sahaja pada orang ramai. Dalam keadaan antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata, "Aku sudah beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, lalu aku siapkan pedangku dan maju ke medan perang. Allah s.w.t. akan memberikan syahidah padaku dalam waktu yang tidak lama lagi." Amar meninggal. Rohnya mengadap ke hadrat Illahi sebagai pahlawan syahid.


Waktu hal ini diketahui Rasulullah s.a.w. , maka Baginda s.a.w. pun bersabda,: "Amar itu nanti akan berada dalam syurga nantinya." Dan kaum Muslimin pun mengetahui akhir hayat Amar dengan penuh takjub, sebab di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a sahabat yang banyak mengetahui hadith Rasulullah s.a.w. berkata kaum Muslimin, "Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang dia tidak pernah bersyarat sekalipun juga terhadap Allah s.w.t.."

"Jika kamu tidak tahu orangnya." Kata Abu Hurairah r.a lagi, lalu ia pun menyambung, ujarnya, "Maka baiklah aku beritahukan, itulah dia Amar bin Thabit." Demikianlah kisah seorang yang ajaib, masuk syurga demikian indahnya. Ia tidak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti para sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk Islam. Tiba-tiba melihat persiapan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga ia menemui Rasulullah s.a.w.. Ia menjadi Muslim, lalu maju ke medan perang, sebagai mujahid yang berani.


Akhirnya tewas dia dengan mendapat syahadah iaitu pengakuan sebagai orang yang syahid. Mati membela agama Allah s.w.t. di medan perang. Maka syurgalah tempat bagi orang yang memiliki julukan syahid. Rasulullah s.a.w. menjamin syurga bagi orang seperti Amar ini.

Subhanallah.....

Tuesday, February 15, 2011

HIDUP HANYA SEKALI,AKHIRAT UNTUK SELAMANYA

Monday, February 14, 2011

Hidup dan matiku kerana Allah

Senyumlah wahai sahabatku